Jil Muallim, Pewaris Tugas Nabi

Selamat datang saya ucapkan kepada semua. Weblog ini adalah weblog peribadi saya. Saya telah memuatkan sedikit perkongsian ilmu yang difikirkan perlu. Semoga mendapat manfaat daripada weblog saya ini. Terima kasih atas kunjungan. Sebelum keluar, silalah tinggalkan pesanan. Syukran Jazilan...

Cetusan Fikrah

Artikel cetusan idea saya berkaitan kefahaman saya terhadap tarbiyyah dan wadah perjuangan.

Ini Wasilahku

Perkongsian pengalaman saya dalam menyertai wadah PEMBINA. Segala suka duka, jerit perih mahupun aktiviti yang diikuti bersama para ikhwah (sahabat) turut saya muatkan di sini.

Ya Muallimin

Perkongsian pengalaman saya berada di bidang pendidikan, termasuklah suka duka saya semasa zaman persekolahan, kursus perguruan di IPG Malaysia serta pengalaman sebagai guru di sekolah.

Bicara Ad-Deen

Sedikit perkongsian ilmu-ilmu agama untuk amalan bersama.

Isu Semasa

Mengupas berkaitan isu semasa yang berlaku di sekeliling saya untuk kita iktibari bersama.

Sains-Teknologi

Sains dan teknologi yang berkembang perlulah seiring dengan Islam. Namun, jika kecanggihan sains dan teknologi tidak berteraskan syariat, ianya akan memudaratkan manusia sendiri. Ayuh kita meningkatkan pengetahuan Sains dan Teknologi.

Tips Komputer

Komputer - suatu keperluan darsawarsa ini. Saya ingin berkongsi dengan anda sedikit sebanyak info dan tips berkaitan penggunaan komputer yang merangkumi hardware dan software.

Sunday, January 15, 2012

Monolog Diri : "Saya Seorang Guru V - Saya Dan Posting Bahagian I"

Assalamualaikum dan salam sejahtera kepada pembaca sekalian.

Setelah sekian lama, saya kembali bernafas lagi dalam penulisan weblog Jil Muallim ni. Terlalu banyak halangan yang perlu saya tempuh untuk punyai ruang waktu dan kekuatan untuk menulis entri. Pada kali ini, saya sekali lagi ingin berkongsi monolog diri yang terbuku di hati, "Saya Seorang Guru V - Saya Dan Posting".

Setelah entri terakhir berkenaan sambutan Hari Guru ("Saya Seorang Guru IV - Saya Dan Sambutan Hari Guru"), terlalu banyak perkara yang telah saya lalui dalam kesibukan sebagai pelajar semester akhir. Dengan kerja-kerja Kajian Tindakannya, program Internship, Seminar Penyelidikan Tindakan PISMP Semester 8 2011 dan saya juga terpilih mewakili IPG ke Seminar Penyelidikan Tindakan IPG Zon Timur yang telah diadakan di IPG Kampus Kota Bharu, Pekalan Chepa, Kelantan. Semester yang sangat padat dengan aktiviti dan tugas yang perlu dilaksanakan. Alhamdulillah, Allah telah memberi kekuatan kepada saya untuk melaksanakannya dengan baik.

Selepas tamat peperiksaan akhir semester, saya telahpun mengikuti Kursus Induksi Sistem Saraan Malaysia (KISSM) dan Temuduga Lantikan Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Siswazah di IPG KDRI. Alhamdulillah, kedua-dua hal penting ini dapat saya lalui dengan jayanya. Saya telahpun lulus KISSM dan ditempatkan di sekolah.

Mesti para pembaca tertanya-tanya, di manakah saya ditempatkan, dah tajuk pun tentang posting bukan? Berita berkaitan posting ni dah hampir seminggu sebenarnya. Pada mulanya saya rasa sangat teruja untuk tahu di mana saya bakal ditempatkan. Pada malam tu, saya telahpun membuat semakan di laman web KPM. Saya telahpun ditempatkan di S.A.R.A.W.A.K. Suatu yang di luar jangkaan saya.

Semakan Penempatan Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Siswazah (PPPS) di laman web KPM
"Alhamdulillah syukur, rezeki saya di sana. Khidmatku diperlukan", monolog memujuk diri. Tapi saya juga seperti manusia lain. Bohonglah kalau saya katakan tidak terdetik rasa sedih  lansung. Terlintas di benak fikiran "Allahu Rabbi, jauh percaturan-Mu mendahului percaturan yang daku lakukan. Daku serahkan segala ketentuan kepada-Mu. Sesungguhnya Engkau lebih mengetahui sedangkan aku manusia yang tidak mengetahui".

Cuma saya menghadapi masalah, bagaimana nak dimaklumkan kepada kedua mak ayah yang tercinta. Saya dapat tahu penempatan sekitar pukul 1 pagi. Tatkala itu, mak ayah saya telah pun tidur. Saya pun tahu, mereka sangat mengharapkan pemergian saya ke alam pekerjaan tidak lagi jauh seperti pemergian saya dahulu untuk menyambung pelajaran selepas SPM pada tahun 2006. Walaupun hanya di Terengganu pada waktu itu, tapi sudah cukup jauh buat insan bernama ibu berjauhan dengan anaknya. Dan takdir saya kali ini lebih .... tak terkata (speechless)

Keesokan pagi selepas Subuh, saya keluar bilik menuju ke dapur. Berat hati nak bagitau kepada mak ayah, tapi akhirnya keluar juga kata-kata dari mulut, "Mak, ayah, abg dapat Sarawak". Senyap seketika hiruk pikuk pagi, pagi tu adalah pagi yang paling suram. Mak ayah pun bermuram durja, speechless. Akhirnya ayah bersuara, "Tak apalah, timba pengalaman baru di tempat orang."

Jadi pada hakikatnya saya secara rasminya ditempatkan di Bumi Kenyalang. Bukan lagi suatu mimpi. Apa yang saya harapkan, saya mampu menjadi guru yang terbaik dalam kalangan yang terbaik untuk mencurahkan bakti kepada anak didik di Sarawak. Ini adalah perjuangan yang mesti saya lalui dengan penuh ketabahan, kesabaran dan ikhlas. Saya akan cuba belajar bersyukur dengan rezeki yang saya dapat.


Malam terakhir di Kulim, Kedah, Malaysia
Doakan saya selamat sampai dan selamat menempuh pengalaman baru....

Saturday, December 10, 2011

Program Diskusi Maal Hijrah 1433H

Saya ingin mengambil kesempatan untuk mempromosikan Program Diskusi Maal Hijrah yang bakal diadakan di Surau Kariah Taman Kenari, Kulim, Kedah. Bersama jemputan istimewa, IM Ust Asyraf Ridhwan (Juara Imam Muda Musim Pertama)






Jemputlah datang beramai-ramai bagi memeriahkan lagi program ini.

Friday, December 09, 2011

Gerhana Bulan Disember 2011

Setelah sekian lama tak update blog, kini ada juga masa untuk penulis menaipkan sesuatu. Pada kali ini, penulis ingin bercerita perihal gerhana bulan yang bakal berlaku pada Sabtu, 10 Disember 2011. Sebelum itu, mari kita kenali dulu apakah gerhana bulan?

Apa itu Gerhana Bulan?

Gerhana merupakan suatu fenomena di mana bulan atau bumi dilindungi oleh bayang-bayang salah satu daripada objek di angkasa lepas. Dalam kes gerhana bulan ini, fenomena ini berlaku apabila bulan ditutupi oleh bayang-bayang bumi. Seperti yang kita ketahui (pelajaran Sains di sekolah rendah), bulan tidak mengeluarkan cahayanya sendiri. Sebaliknya, ia hanya memantulkan cahaya matahari yang diterimanya. Apabila bulan bergerak di belakang bayang-bayang bumi, bulan akan terlindung dari menerima cahaya dari matahari. Fenomena inilah yang dinamakan gerhana bulan.

Beza antara gerhana matahari dan gerhana bulan adalah pada kedudukan matahari, bumi dan bulan.

Fakta Saintifik Tentang Bulan
  • Bulan dianggap sebagai suatu satelit kepada bumi kerana ia beredar mengelilingi bumi mengikut orbit (manzilah) yang telah ditetapkan oleh Allah. Terdapat fasa-fasa tertentu bagi bulan yang kelihatan dari bumi dan fasa-fasa itu berulang-ulang.
"Dan bulan pula Kami takdirkan dia beredar melalui beberapa peringkat, sehingga di akhir peredarannya kelihatan kembalinya pula ke peringkat awalnya - (berbentuk melengkung) seperti tandan yang kering (bulan sabit)" (Surah Yaa Siin, 36 : 39)

  • Saintis berpendapat bahawa bulan bukanlah serpihan daripada bumi yang telah pecah dan terpisah daripada bumi. Teori ini menyatakan bahawa bulan ialah suatu jasad yang telah diwujudkan berasingan. Secara rasmi, bulan dikelaskan sebagai suatu satelit (iaitu sebagai ahli keluarga) kepada bumi, tetapi ia amat besar dan lebar, iaitu dengan diameter 3,476 kilorneter dan bersaiz 0.012 daripada saiz bumi. Ada yang menganggapkan bulan sebagai planet yang mengiringi bumi. Jarak bumi ke bulan ialah 384,400 kilometer. Kelajuan keluar daripada bulan ialah rendah, iaitu 2.4 kilometer sesaat. Oleh itu, bulan tidak mampu menyimpan sebarang atmosfera (udara).

  • Analisis ke atas bahan-bahan sampel yang dibawa balik dari bulan oleh peralatan automatik Apollo dan Rusia mengesahkan bahawa tiada benda hidup terdapat di permukaan bulan. Bulan tidak mengeluarkan cahaya sendiri sama seperti matahari, iaitu sejenis bintang. la menerima cahaya yang dipantulkan oleh matahari. AI-Quran ada menyatakan perihal cahaya bulan yang berupa cahaya pantulan.
"Dialah yang menjadikan matahari bersinar (nuuran) dan bulan bercahaya (dhiyaa-an) dan menetapkan orbit (manzilah)" (Surah Yunus, 10 : 5)

  • Bulan mengambil masa selama 27.3 hari untuk melengkapi satu revolusi atau pusingan peredarannya di dalam orbit (manzilah) yang telah ditetapkan oleh Ilahi.

  • Kita hanya melihat permukaan yang sama sahaja sentiasa. Mengapakah kita dari bumi tidak pernah nampak bahagian belakang bulan; setiap masa kita hanya berkesempatan melihat sebelah permukaan yang sama sejak bulan mulai beredar di sekeliling bumi kita? Sebabnya ialah bulan berputar pada paksinya sekali sahaja dalam masa 27.3 hari ini, (satu rotasi sebulan) menyebabkan bahagian belakangnya tidak pernah berhadapan dengan muka bumi! Tetapi kepada matahari, permukaan bulan adalah sentiasa berubah-ubah. Dari bulan, manusia nampak seolah-olah bumi tidak bergerak, dan dari belakang bulan, kita langsung tidak nampak bumi.

  • Orbit bulan bukannya berbentuk bulat, kerana ia bergerak lebih laju apabila ia berada pada posisi yang terlalu dekat dengan bumi. Pada masa ini bulan bergoyang sedikit, serta membolehkan kita melihat lebih kurang 59% daripada permukaannya.Tetapi 41 % bahagian yang bakinya tidak pernah dilihat sehingga penerbangan Lunik 3 dalam tahun 1959.

Selaras dengan sunnatullah iaitu hukum alam yang ditetapkan oleh Allah s.w.t. kita boleh meneka dengan penuh kepastian bila, di mana dan berapa lama akan berlakunya gerhana bulan.

Fenomena Gerhana Bulan 10 Disember 2011

Fenomena gerhana bulan pada kali ini akan berlaku pada waktu puncak, iaitu sebaik sahaja matahari terbenam dan berlarutan sehingga ke lewat tengah malam. Tidak seperti gerhana yang lepas, yang mana ianya berlaku lewat tengah malam sehingga ke matahari terbit keesokan paginya. Oleh itu, gerhana kali ini dijangka dapat disaksikan dengan mudah oleh orang ramai.

Fasa gerhana ini akan bermula pada jam 7.31 petang. Namun apabila bulan mula menghampiri kawasan bayang-bayang bumi yang lebih gelap, dikenali sebagai umbra, barulah kesan gelapnya mudah kelihatan, iaitu sekitar jam 8.45 malam.

Bulan akan berada di dalam bayang-bayang bumi sepenuhnya (fasa gerhana penuh) pada jam 10.05 malam sehingga 10.57 malam. Kemudian ia akan keluar sepenuhnya daripada bayang-bayang umbra pada jam 12.18 tengah malam.Waktu setiap fasa gerhana boleh dirujuk seperti di bawah (kiraan Skymap Pro 8)

Moon enters penumbra: 2011 Dec 10 19:31:37
Moon enters umbra: 2011 Dec 10 20:45:11
Start of totality: 2011 Dec 10 22:05:29
Maximum eclipse: 2011 Dec 10 22:31:36
End of totality: 2011 Dec 10 22:57:45
Moon leaves umbra: 2011 Dec 11 00:18:04
Moon leaves penumbra: 2011 Dec 11 01:31:30

Jumlah masa Bulan bergelap di dalam bayang-bayang bumi sepenuhnya ialah selama 52 min 16 saat.

Waktu di atas merupakan waktu tempatan (Malaysia) termasuklah iaitu Semenanjung, Sabah mahupun Sarawak. Cuma yang berbeza ialah ketinggian Bulan di langit. Semakin anda berada ke arah timur Malaysia, semakin tinggi kedudukan Bulan pada satu-satu fasa gerhana itu.

Video di bawah merupakan simulasi gerhana bulan yang dibuat menggunakan perisian Stellarium. Bagi yang berminat untuk mencuba sendiri perisian Stellarium, boleh muat turun dari sini: http://www.stellarium.org/



Jika anda terlepas gerhana kali ini, anda terpaksa menunggu sehingga 10 Okt 2014 untuk Gerhana Penuh Bulan yang boleh dilihat dari Malaysia. Itupun anda hanya dapat lihat separuh sahaja, iaitu Bulan sudahpun TAMAT fasa gerhana sepenuhnya ketika ia terbit di waktu Maghrib (di Kuala Lumpur). Gerhana Penuh seterusnya ialah 4 Apr 2015 dan itupun anda dapat lihat separuh sahaja, iaitu Bulan sedang memasuki fasa gerhana penuh ketika ia terbit.

Oleh itu jangan lepaskan peluang menyaksikan KESELURUHAN fasa Gerhana Bulan Penuh pada 10 Disember 2011.

p/s: Jangan lupa kerjakan solat sunat gerhana sempena dengan fenomena ini.

Wednesday, August 24, 2011

Tasik Galilee Yang Makin Mengering. Apa Implikasi Kepada Kita...?

Saya terbaca sebuah atrikel daripada BabyIntan.com. Ingin saya kongsikan di sini untuk renungan kita bersama. Moga kita ianya mampu menambahkan ketaqwaan kita agar kita lebih bersiap siaga menghadapi suatu peristiwa besar yang pasti iaitu K.I.A.M.AT.

-------------------------------------------------------------------------------------------




Kenapa kita perlu meninjau kepada paras air di Tasik Galilee? Apa istimewanya Laut ini kepada kita orang Islam? Saya cuba mendapatkan beberapa pandangan dari beberapa sumber yang saya kira boleh dikongsi untuk kebaikan kita semua. Yang baik itu datangnya dari Allah dan yang buruk itu dari kelemahan penulis ini sendiri. Insya Allah...

Assalamualaikum semua wahai hamba Allah s.w.t. yang sedang membaca berita bermanfaat ini menerusi alam maya. Salam peringatan dari saya kepada semua sahabat dunia dan akhirat.

Hari ini saya akan dedahkan secara terbuka kepada semua pembaca mengenai Tasik Galilee, sebuah tasik yang dikelilingi darat sedang pun mengering dengan derasnya ketika ini. Nama lain bagi tasik ini ialah

- Lake of Gennesaret
- Lake Kinneret
- Sea of Tiberias

Ada satu hadis sahih yang saya sengaja tidak tunjukkan di sini, hadis itu memberitahu saya dan anda semua, bahawa apabila keringnya tasik ini maka tunggulah kamu akan turunnya Al-Masih Isa, itulah saatnya dan perhatikanlah tasik ini sebagai antara sempadan begitu hampirnya tanda-tanda besar. Carilah hadis sahih ini sampai dapat, dan bila anda tahu dan menjumpai hadis ini, pada ketika anda tahu itu, anda pasti dalam ketakutan yang amat sangat. Apa yang menjadi kerisauan saya sekarang ialah tasik ini sudah pun kering dengan derasnya setiap hari turun beberapa milimeter sejak tahun 2000 masihi lagi dan 10 tahun telah pun berlalu...

Saudara serumpunku, anda semua harus beringat, bila tasik ini kering, maka itulah saat di mana Nabi Isa akan turun ke planet bumi untuk membantu Imam Mahadi, memburu dajjal ke seluruh pelusuk bumi.

Saya ingatkan lagi, hadis ini amatlah sahih, sedangkan tiada satu pun ulamak di Tanah Melayu berani membongkar hadis sahih ini, dengan kata lain, mereka tahu tapi mereka kurang keberanian kerana hakikat itu jelas, Tasik Galilee sedang kering dengan lajunya, dan mengikut kajian sains, tasik ini akan kering dalam tempoh masa 50 tahun sahaja dan menemui dasar permukaan bawahnya, dan ketika itulah Nabi Isa turun.




Paras air tasik ini kini telah surut berbanding paras asal yang ditunjukkan dengan anak panah.


Dan anda semua perlu faham, sebelum Nabi Isa turun dalam tempoh 50 tahun akan datang (plus-minus), sudah pastilah proses-proses untuk menjadi asbab perlunya baginda turun, asbab itu mestilah terjadi, Ini bermakna wahai saudaraku sekalian, proses ini "sepatutnya" sudah berlaku…

- Tasik Galilee sedang mengering dengan derasnya setiap hari...

- ini bermakna sistem dajjal akan mencapai kemuncaknya (yang membolehkan dajjal muncul dengan sempurna)

- bila dajjal akan keluar itu kita tak pasti, namun semua tanda kecil & fitnah yang membolehkan dia keluar itu sudah pun wujud di sekeliling kita, benarkan???

- anda kena faham, banyak hadis sahih mengatakan pemuda dari timur yang dilantik menjadi Imam Mahadi adalah dalam sekitar umurnya mencecah 40 tahun...

- dan ini bermakna saya amat yakin, bahawa Imam Mahadi dari timur itu sudah pun berada di kalangan kita, samada baginda di saat ini baru dilahirkan? atau masih kanak-kanak? atau sedang belajar di sekolah menengah, atau pun sedang dalam alam remaja, kita tak pasti...

-Ingatlah, saya menyampaikan mesej ini di dalam alam maya tidak lain tidak bukan, ingin mengajak anda semua melangsaikan hutang secepat mungkin sebelum nibiru melintasi orbit kita, kerana atas sebab lintasan itulah, maka gerhana matahari & gerhana bulan akan berlaku serentak, dan kamu wahai orang muslim, tentu di saat itu sedar, bahawa di masa 2-3 tahun lepas, ada manusia pernah memberitahu anda tentang hal ini, namun anda mungkin terlambat dan mengabaikannya di saat itu...

-dan kerana itulah saya hadir untuk menyedarkan ramai saudara-saudaraku, rakan-rakan, semua hamba Allah dan ramai dari mereka sebelum saat itu tiba, menjelma tanpa kita duga...

Ingatlah saudara-saudara ku...Mereka bertiga akan muncul selang silih berganti sahaja, dan mereka bertiga berkongsi gelaran yang sama, mereka bertiga adalah manusia belaka. Dua daripada mereka mendapat rahmat berupa umur yang panjang, sedangkan satu daripada mereka bertiga berumur pendek tetapi dapat memimpin dunia.

Ketahuilah mereka bertiga ialah:

- Al Masih Imam Mahadi
- Al Masih Dajjal
- Al Masih Isa

Ingatlah kawan-kawan...sekiranya umur anda adalah sekitar 20-an 30-an (pada hari ini), percayalah, dalam tempoh 50 tahun ini sahaja, semua tanda-tanda untuk munculnya tanda-tanda besar, pasti 100% muncul di zaman anda, samada anda ditakdirkan untuk mati sebelum peristiwa itu muncul, atau anak-anak anda yang bakal berhadapan dengan ujian itu. Ketahuilah, Tasik Galilee sudah pun mulai mengering sejak tahun 2000 masihi lagi, dan proses pengeringan ini amat dahsyat sehingga yahudi di Israel meminta bantuan dunia untuk menaikkan kembali aras Tasik Galilee ini dan 10 tahun sudah pun berlalu, ada baki lagi 40 tahun (plus-minus) sebelum turunnya Nabi Isa ke planet bumi, dan anda harus ingat!!!

Sekali lagi saya ingatkan anda, bila Nibiru melalui nanti (diteorikan), 2 gerhana akan berlaku (diselidiki), iaitu bulan dan matahari (dari pandangan mata di permukaan bumi), dan teori 2 gerhana pada tahun 80-an "akan bergabung" teori gerhana tahun 2012, dan sekiranya teori ini benar-benar berlaku, maka sahlah dan lengkaplah semua tanda-tanda kecil, dan kehadiran tanda-tanda besar pasti berlaku tanpa anda jangka.

Gambaran orbit Planet Nibiru (Planet X) yang akan melintasi menghampiri bumi.Sejauh mana kesahihannya, walahu a'lam. Tepuk dada, dan tanya iman kita.

Planet Nibiru (Planet-X) adalah planet yang dimaksudkan oleh Rasulullah sebagai dua gerhana berlaku serentak yang memancarkan cahaya merah ke bumi. Planet Nibiru ini tidak menghentam bumi tetapi tarikan gravitinya yang sangat kuat akan menjahanamkan semua PANCARAN API yang terdapat pada bumi. TANDA-TANDA BESAR KIAMAT? OBJEK MERAH KELIHATAN DI LANGIT. Planet ini hanya akan lalu di antara bumi dan matahari dimana kecerahannya berwarna kemerah-merahan seakan-akan anak matahari. Sekiranya kehadiran planet besar ini melintas di antara orbit bumi & matahari, gelombang-gelombang pancaran akan keluar, dan menjahanamkan semua sistem-sistem dunia yang menggunakan elektronik atau pancaran api. Ini bermakna, apa sahaja jentera langit dan bumi, asalkan yang mempunyai saluran elektrik, akan dengan sendirinya tidak berfungsi, satelit, jet pejuang, kapal laut enjin fuel system, kereta api, motorsikal, kereta kebal, laptop, tenaga elektrik, handphone, playstation tidak akan berfungsi lagi, dan anda akan kembali ke zaman sebelum tibanya elektrik. Itu pun sekiranya anda masih hidup hasil dari peristiwa ini, kerana dianggarkan 2/3 penduduk bumi akan lenyap hasil dari tindak balas berbahaya antara bumi dan Planet-X.

Benarlah kata-kata RASULULLAH s.a.w bahawa satu hari nanti bumi akan hancur dan satu zaman dipanggil back to ancient berlaku di mana segala teknologi pupus dan manusia akan kembali seperti zaman purba, berperang dengan pedang cara kuno, menunggang kuda sebagai satu medium pengangkutan...bersedialah kita umat islam...ALLAHHUAKBAR!

KAJIAN SAINS: Setelah saya membuat kajian, sekiranya kehadiran planet besar ini dan melintas di antara orbit bumi & matahari, gelombang-gelombang pancaran akan keluar, dan menjahanamkan semua sistem-sistem dunia yang menggunakan elektronik atau pancaran api. Anda akan kembali ke zaman sebelum tibanya elektrik. Ini pesanan saya lagi...

Tiada satu hadis pun menerangkan yang manusia akhir zaman berperang dengan alat-alat yang selain pernah nabi sendiri gunakan. Sekiranya kajian saya di atas berpandukan hadis, maka sudah tentulah bahawa apa sahaja teknologi moden hari ini, persenjataan tercanggih, akan menjadi tidak aktif dan hancur dari dunia ini...Maka hidup anda selepas peristiwa besar ini berlaku, adalah satu kehidupan di mana anda bakal hidup di zaman sebelum hadirnya elektrik, manusia akan kembali kepada fitrah semula, dan mana-mana manusia yang tinggal di bandar, adalah manusia yang paling rugi di kala itu kerana bandar yang duduki itu sedang tenggelam, kerana itulah kita kena bina perkampungan Muslim seperti banyak yang ada di Tanah Melayu...

Saya berpesan kepada anda sekali lagi, gunakan duit anda untuk:

-melangsaikan hutang dunia

-membeli tanah di kawasan pedalaman

-menguasai sungai-sungai dan pinggiran gunung

-membeli kuda seorang dua ekor

-mengasah pedang dan mencanai keris

-menguasai kembali teknik MEMANAH

-dan kembali mengajar anak-anak anda semua berenang

Ketahuilah, kita ada tak sampai 40 tahun sahaja lagi sebelum Tasik Galilee kering sepenuhnya, kita ada hanya purata 40 tahun sahaja lagi sebelum turunnya Nabi Isa ke planet Bumi ini, dan anda kena faham lagi sekali, sebelum Nabi Isa itu turun, sudah pastilah Imam Mahdi itu sudah pun ada di keliling kita, dan sudah pastilah peperangan besar pasti terjadi, dan sudah semestinya lah akibat perang itu, dengan sebab sistem yang lengkap di sekeliling kita menyebabkan Dajjal itu pasti juga akan keluar, ya kawan-kawan...dajjal akan muncul dulu sebelum turunnya Nabi Isa, dan Imam Mahdi akan muncul dulu sebelum Dajjal keluar dari Khurasan, sekali lagi saya ingatkan,anda hanya ada 40 tahun lebih sahaja sebelum 1 tanda besar pertama keluar, bila satu tanda besar keluar, perhatikan sekeliling anda, semua tanda-tanda kecil sudah lengkap kan? Bila satu tanda besar keluar, akan datang tanda-tanda besar seterusnya tanpa ragu-ragu...

Dan ingatlah wahai Muslimin, doa Nabi Ibrahim makbul sehingga akhir zaman, dari susur galur bagindalah berakhirnya Rasul terakhir Nabi Muhammad, dari susur galur Nabi Muhammad lah, akan munculnya pemuda bernama Muhammad Bin Abdullah (di zaman kita "mungkin"), yang mana dia sendiri tak tahu dia adalah bakal Imam Mahdi, percayalah bahawa di dalam darahnya ada kombinasi DNA Nabi Ibrahim & DNA Nabi Muhammad, kerana mereka berdua dari keturunan yang sama, sedangkan Mahadi adalah waris dari keturunan yang tak pernah meninggalkan Solat, carilah balik doa Nabi Ibrahim itu, (ada dalam Al-quran) dan kerana itulah, Solat 5 Waktu di tahiyat akhir, kita akan selalu bacakan nama 2 Nabi itu.

Pesanan terakhir, langsaikan hutang secepat mungkin, tinggalkan bandar kalau anda sudah ada tanah baru di pedalaman, kumpulkan kain-kain yang tahan lama, ternak dan gembala kambing, ajar anak-anak menunggang kuda, simpan cermin mata anda sebaik mungkin, banyakkan mencetak sebelum tibanya hari tiada elektrik, banyakkan menulis dan berpesan pada jiran sebelah, latihkan anak-anak Melayu kita dengan kemahiran memanah, banyakkan berenang di waktu petang, minta maaf pada saudara-saudara terdekat dan saudara-saudara jauh, kita kena cepat minta maaf (kerana apa pun boleh jadi bila Dajjal menguasai hari ini)



-------------------------------------------------------------------------------------------

Komen Cg Mohd Ridzuan al-Kindy:
Mungkin ada di kalangan pembaca yang meragui kesahihan fakta. Namun, marik kita merenung kembali, andai benar spekulasi yang dibuat, dimanakah kita? Adakah kita bersedia menghadapi saat-saat ini?

Ayuh, perbaiki amalan dalam kehidupan kita untuk kebaikan bersama. Masih ada masa untuk kita...
p/s: Mungkin ada para pembaca yang boleh carikan hadis sahih yang dimaksudkan oleh penulis asal artikel ni.

Saturday, August 20, 2011

Membaca Al-Quran; Formula Matematik Mudah Bagi Mencari Mukasurat bagi setiap Juzuk dalam Al-Quran Rasm 'Uthmani

Setelah lama saya tidak mengemaskini weblog Jil Muallim ni, akhirnya saya diberi kekuatan oleh-Nya untuk menulis sesuatu. Pada kali ini, ingin saya kongsikan bahan yang saya dapat daripada kawan-kawan di Facebook. Inilah kegunaan Facebook yang dapat kita manfaatkan untuk kebaikan, iaitu menyebarluaskan ilmu yang sepatutnya kita tahu, Alhamdulillah.

Saya ingin mengajak diri saya dan saudara saudari pembaca merenung sebentar, berapa banyakkah halaman al-Quran yang kita baca setiap hari? Mungkin kita sibuk dengan tugasan seharian kita, namun jangan sesekali kita lupakan al-Quran, walaupun dengan membaca sepotong ayat al-Quran. Sesungguhnya banyak ayat al-Quran yang menerangkan suruhan dan kelebihan jika kita mengamalkan al-Quran dalam kehidupan seharian kita. Saya ingin petik dua daripadanya:

Surah al-Baqarah, ayat 2:
ذَلِكَ الْكِتَابُ لا رَيْبَ فِيهِ هُدًى لِلْمُتَّقِينَ
Maksudnya: Kitab Al-Quran ini, tidak ada sebarang syak padanya (tentang datangnya daripada Allah dan tentang sempurnanya); ia pula menjadi petunjuk bagi orang-orang yang (hendak) bertaqwa.

Surah al-Ahzab, ayat 34:
وَاذْكُرْنَ مَا يُتْلَى فِي بُيُوتِكُنَّ مِنْ آيَاتِ اللَّهِ وَالْحِكْمَةِ إِنَّ اللَّهَ كَانَ لَطِيفًا خَبِيرًا
Maksudnya: Dan ingatlah (serta amalkanlah) apa yang dibaca di rumah kamu dari ayat-ayat Allah (Al-Quran) dan hikmah pengetahuan (hadis-hadis Rasulullah). Sesungguhnya Allah Maha Halus tadbir-Nya, lagi Maha mendalam pengetahuan-Nya.

Justeru, marilah kita sama-sama memperbaiki pembacaan al-Quran kita. Saya sendiripun masih merangkak-rangkak dalam usaha membaca al-Quran dengan kesibukan diri. Tetapi marilah kita sama-sama memperkuatkan azam dan iltizam kita untuk terus membaca al-Quran walaupun hanya beberapa ayat sehari. Moga-moga kita beroleh rahmat dan hidayah daripada Allah.

Seperti yang saya katakan, apa yang saya ingin kongsikan sudah tentu berkaitan juga dengan membaca al-Quran. Ini sebagai pengetahuan tambahan kita, moga-moga bermanfaat untuk usaha kita membaca al-Quran dengan istiqamah.

Teks asal yang saya petik ini telah dimurnikan dari aspek susunan ayat dan ejaan perkataan bagi menjadikan ianya tulisan yang memartabatkan bahasa Melayu.
-----------------------------------------------------------------------------------------


Cara mudah mencari muka surat di dalam al-Quran.
Mari kita cuba.

Al-Quran adalah peninggalan Rasulullah s.a.w. kepada kita semua selaku umat baginda. Ada dua perkara yang Nabi Muhammad s.a.w tinggalkan kepada kita iaitu Al-Quran dan juga as-Sunnah untuk kita semua amalkan.

Berapa kali kita membaca Al-Quran dalam sehari? 1 kali? 2 kali atau semasa di dalam solat sahaja? Pahala paling mudah untuk kita dapatkan adalah melalui pembacaan al-Quran kerana setiap huruf diberikan 10 pahala, tambahan pula al-Quran adalah kalam Allah (datang daripada Allah sendiri bukan diciptakan manusia)

Tips yang hendak dikongsikan di sini adalah cara untuk kita menghafal muka surat setiap juzuk al-Quran. Memang menakjubkan kerana hanya dengan menggunakan formula matematik ringkas, kita dapat mengetahui muka surat setiap juzuk al-Quran. Jom sama-sama kita belajar.

Contoh 1
Jika anda ingin mengetahui Juzuk 5 di halaman ke berapa:

5 - 1 = 4
4 perlu didarab dengan 2 jadi 4 x 2 = 8
Letakkan no 2 selepas jawapan.
Jadi, juzuk 5 adalah pada halaman 82.

Sekarang lihat pada Quran dan anda akan lihat Juzuk 5 bermula pada halaman 82. Menarikkan?

Contoh 2
Jika anda ingin mengetahui Juzuk 10 di halaman ke berapa:

10 - 1 = 9
9 perlu didarab dengan 2 jadi 9 x 2 = 18
Letakkan no 2 selepas jawapan.
Jadi, juzuk 10 adalah pada halaman 182.

Contoh 3
Jika anda ingin mengetahui Juzuk 23 di halaman ke berapa:

23 - 1 = 22
22 perlu didarab dengan 2 jadi 22 x 2 = 44
Letakkan no 2 selepas jawapan.
Jadi, juzu 23 adalah pada halaman 442.

Subhanallah, memang menakjubkan.

-----------------------------------------------------------------------------------------

Komen M.Ridzuan.alKindy:
Subhanallah, kagumnya saya dengan kebesaran-Mu Ya Allah. Memberi banyak erti untuk saya selaku bakal guru Matematik. Moga dapat saya manfaatkan untuk mendidik anak didik saya pada masa yang akan datang.

Jom sama-sama kita berubah.
Daripada tidak membaca al-Quran kepada membaca al-Quran...
Daripada membaca al-Quran satu ayat kepada beberapa ayat al-Quran...
Daripada jarang membaca al-Quran kepada kerap membaca al-Quran...
Daripada tidak memahami ayat al-Quran kepada memahami ayat al-Quran...
Daripada sekadar membaca kepada memahami dan mengamalkan ayat al-Quran...



Moga kita diberi kekuatan untuk menjadi sahabat baik al-Quran, serta terus berubah ke arah kebaikan. Insyaallah...

p/s: Belum terlambat bagi sesiapa yang belum memulakan bacaan al-Quran sempena Ramadhan ni. Masih berbaki lagi 10 hari. Ayuh sahabat-sahabat pembaca.

Monday, August 01, 2011

Ahlan Wasahlan Ya Ramadhan



Melangkah kita  memasuki Ramadan al Mubarak , bulan penuh barakah. Pastinya tersemat di sanubari hamba mukmin untuk melaksanakan tuntutan yang satu ini penuh kesabaran. Mengekang nafsu, menahan godaan ,melawan cubaan dan dugaan. Benarlah sabda Junjungan Besar S.A.W ”Puasa itu separuh kesabaran.” Sebesar-besar nikmat yang dikurniakan oleh Allah kepada hambanya ialah puasa yang menjadi benteng dari segala tipu daya syaitan.

Ubadah Bin Al Samit meriwayatkan, Nabi s.a.w. bersabda pada suatu hari ketika Ramadan hampir tiba (maksudnya) : Telah datang kepada kamu Ramadan bulan yang membawa barakah. Allah menyelubungi (melindungi) kamu,lalu Dia menurunkan rahmat serta menghapuskan kesalahan-kesalahan. 

Allah s.w.t.  memperkenankan doa pada bulan itu. Allah juga  melihat perlumbaan antara kamu dalam bulan Ramadan dan menyampaikan kebanggaannya  terhadap kamu kepada para malaikat. Oleh itu hendaklah kamu membuktikan kebaikan kamu kepadaNya. Sesungguhnya orang yang celaka itu ialah orang yang dijauhkan atau diharamkan oleh Allah daripada mendapat rahmatNya.

Kelebihan Ramadan banyak dinukilkan para sahabat melalui hadis Rasulullah antaranya; Abu Hurairah berkata Rasulullah s.a.w. bersabda (maksudnya)
"Barang siapa berpuasa Ramadan dan mendirikanya dengan penuh keimanan dan menuntut pahala, diampun baginya dosa-dosa terdahulu."

Nyatalah orang yang berpuasa akan diberi balasan secukupnya  serta dilipat ganda pahalanya. Rasulullah pernah bersabda  maksudnya:
"Kemuncak segala bulan ialah bulan Ramadan dan kemuncak segala hari ialah hari Jumaat."

Demi meraih rahmat dan barakah, kurniaan dan maghfirah, pembebasan daripada api neraka dan ganjaran pahala berilpat ganda, laluilah bulan mulia ini dengan amalan-amalan seperti amalan para sahabat dan salafussoleh. Siang berpuasa dan  malam dihiasi dengan solat dan bacaan al-Quran.

Justeru jadikan Ramadan satu bulan yang memberi impak yang besar kepada sesiapa yang menghayatinya. Kita alu-alukan kedatangan  Ramadan dengan penuh keimanan dan keinsafan. Begitulah istimewanya Ramadan. Satu daripada dua cahaya yang dikurniakan Allah kepada hamba-hambanya yang boleh memadamkan kegelapan. Kegelapan kubur dan kegelapan mahsyar. Wallahua’lam.

Salam peringatan buat kita semua. 


Monday, May 16, 2011

Monolog Diri : "Saya Seorang Guru IV - Saya Dan Sambutan Hari Guru"

Hari ini memang penat sangat, setelah beberapa hari hanya penat memerah otak untuk mengulangkaji pelajaran untuk peperiksaan akhir. Tetapi hari ini, saya banyak keluarkan tenaga kerana saya telah hadir di sekolah tempat saya berpraktikum bagi bersama-sama meraikan sambutan hari guru peringkat SKTG. Sememangnya hati saya merasa seronok dan gembira kerana hari ini merupakan hari bermakna buat saya.

Setibanya saya di sekolah, saya rasa berdebar-debar untuk menuju ke tapak perhimpunan. Di benak pemikiran saya, hanyalah terbayang apakah reaksi anak-anak didik yang dikasihi dengan kehadiran saya. Saya tiba di sekolah agak lewat daripada waktu biasa, iaitu sekitar 7.30 pagi. Namun, saya gagahkan juga diri menuju ke tapak perhimpunan. Saya dapat lihat reaksi mereka yang memerhatikan kedatangan guru yang pernah mengajar mereka - senyum, melambai-lambaikan tangan dan ada yang datang dan salam serta mencium tangan saya. Betapa bertuahnya saya menjadi seorang guru. Terasa disayangi oleh mereka.

Upacara pada pagi ini bermula dengan perhimpunan biasa - nyanyian tiga buah lagu. Diikuti dengan pembacaan perutusan Hari Guru oleh Menteri Pelajaran Malaysia, Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia dan Pengarah Jabatan Pelajaran Terengganu. Dalam ketiga-tiga perutusan yang dibacakan ini, dapat saya rumuskan bahawa saya selaku guru mempunyai tanggungjawab yang berat untuk dipikul bagi menjana transformasi pendidikan negara, Allahu Rabbi!

Kemudian disusuli oleh ucapan Guru Besar dan Presiden PIBG SKTG yang mengharapkan yang terbaik daripada guru-guru untuk terus berusaha menjana transformasi pendidikan. Dalam hatiku bermonolog "Insyaallah, akan ku cuba menjadi guru yang terbaik." Seterusnya adalah nyanyian lagu Guru Malaysia dan lagu tema "Guru Penjana Transformasi pendidikan Negara". Saya berasa sebak semasa meyanyikan lagu tersebut, terfikir adakah amanah yang dimandatkan kepada saya sebagai seorang guru telah dilaksanakan dengan sebaiknya setakat saya berkhidmat di sekolah walaupun baru 6 bulan (tempoh berpraktikum). Namun, lagu kedua iaitu lagu tema menjadi sesuatu yang melucukan di mana saya dan rakan guru yang lain tidak dapat menyanyikan lagu tersebut lantaran lagu tersebut agak baharu. Saya terhibur sebentar dengan gelak tawa anak-anak didik. Namun, masih lagi sebak di hati.

Terjadinya suatu peristiwa yang bagi saya menyentuh perasaan saya. Ketika itu saya berjumpa dengan rakan guru perempuan untuk mengucapkan ucapan selamat hari guru (guru-guru lelaki telah saya ucap terlebih dahulu). Ketika itu datang dua orang murid yang pernah saya ajar datang memberikan hadiah kepada saya. Terkeluar daripada mulut saya, "Ya Allah, susah-susah je kamu". Lalu, salah seorang rakan guru yang saya panggil sebagai Kak Ani pun membalas, "Ambik wan, itu penghargaan budak kepada wan." Terasa terharu, betapa bersyukurnya diri kepada-Mu Yang Maha Pengasih, mengurniakan kasih sayang murid-murid kepada gurunya. Ada yang datang dan berkata, "Cikgu dop kabor pun nok maghi. Kite dop beli hadiohpun ke cikgu" (Loghat Terengganu, maksudnya: Cikgu tak beritahupun nak datang. Saya tak belikan hadiahpun untuk cikgu), saya dengan tenang menjawab, "Terima kasih, tak perlu susah-susah. Kamu hadiahkanlah cikgu kejayaan kamu dalam pelajaran." Dia kembali senyum. Hati saya gembira.

Sekitar Perhimpunan Pagi Sambutan Hari Guru. Para guru menerima hadiah daripada murid.


Kerusi yang menjadi tempat duduk saya sebentar tadi dipenuhi dengan hadiah. Saya dihujani dengan ucapan selamat hari guru yang diberi oleh anak-anak didik, sama ada yang pernah ajar ataupun hanya yang pernah saya masuk kelasnya hanya sekali kerana jadual waktu ganti. Rasa terharu yang amat sangat, sehingga merah mata kerana sebak yang dirasakan belumpun surut sejak lagu Guru Malaysia berkumandang tadi.

Sejurus kemudian, para guru diberi masa untuk bersalin pakaian untuk senam robik dan sukaneka. Pada pagi ini, saya dan rakan saya mengendalikan senam robik, sangat menarik dan memenatkan. Melompat-lompat, bergerak lincah dengan keadaan fizikal saya yang seadanya dan membuatkan banyak jiwa seronok dan ketawa riang, bergembira dengan usaha diri yang tak seberapa. Di hati, inilah yang dapat saya berikan buat kalian anak-anak didikku. Menjadi penghibur adalah sebahagian daripada tugas saya sebagai guru.

Untuk acara sukaneka, para pesertanya adalah terdiri daripada para guru. Saya sekali lagi melibatkan diri kerana guru Rumah Kuning hanyalah kami lapan orang guru, peserta yang dikehendaki pun lapan orang juga. Saya memang sangat seronok mengambil bahagian dalam acara. Sedang sibuk beraksi di medan sukaneka, berkumandang ucapan-ucapan dedikasi oleh anak-nak didik buat guru mereka disusuli dengan lagu. Saya tertarik dengan salah satu daripadanya,
"Ucapan ini ditujukan oleh Fikri Danial Tahun 5 Al-Amanah kepada Sir Ridzuan, dengan ucapan Selamat Hari Guru, saya sayang cikgu." 
Terhenti sekejap gerak langkah di arena sukaneka. Terus terang saya katakan, tersentuh hati saya dengan ucapan yang ringkas dan padat itu. Fokus saya sedikit terganggu kerana mencari si pengirim ucapan, tidak kelihatan. Padahal sebentar tadi dia ada berhampiran saya.

Sekitar sukaneka guru. Berentap habis-habisan.


Saya kembali fokus dengan sukaneka. Sejurus kemudian, acara diakhiri dengan beberapa persembahan murid dan guru serta cabutan bertuah guru-guru dan kakitangan sekolah.  Saya tidak bertuah dalam cabutan bertuah tersebut, namun saya berasa sangat bertuah pada hari penuh makna ini kerana saya terasa sangat dihargai oleh anak-anak didik dan rakan-rakan guru SKTG. Walaupun dengan ucapan "Selamat Hari Guru", namun bagi saya ianya sangat memberi makna untuk menaikkan semangat saya agar terus berusaha menyampaikan ilmu tanpa mengenal erti jemu dan membantu anak-anak didik.

Gambar kenangan bersama anak didik yang dikasihi bersempena Hari Guru. Cikgu doakan kamu semua berjaya di dunia dan akhirat.


Di saat menulis entri ini pada ayat-ayat terakhir, ingin saya merakamkan jutaan terima kasih buat semua guru yang telah banyak berkorban untuk kejayaan saya sehingga ke hari ini.

  • Guru-guru Tadika Cina Taman Kenari, Kulim, Kedah
  • Guru-guru Sekolah Kebangsaan Kulim (Bandar), Kulim, Kedah
  • Guru-guru Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Baling, Baling, Kedah
  • Guru-guru / Tutor-tutor Kolej Matrikulasi Perlis, Arau, Perlis
  • Pensyarah-pensyarah Institut Perguruan Kuala Terengganu hinggalah dikenali sebagai Institut Pendidikan Guru Kampus Dato' Razali Ismail, Kuala Terengganu, Terengganu


Juga buat rakan-rakan guru yang mengenali saya, terima kasih atas segala bantuan dan tunjuk ajar kalian semasa program latihan mengajar - Pengalaman Berasaskan Sekolah (PBS) dan Praktikum.

  • Guru-guru Sekolah Kebangsaan Taman Kenari, Kulim, Kedah (PBS I - Mac 2008 & PBS II - Ogos 2008)
  • Guru-guru Sekolah Kebangsaan IPG KDRI, Kuala Terengganu, Terengganu (PBS III - Mac 2009)
  • Guru-guru Sekolah Kebangsaan Sungai Ular, Kulim, Kedah (PBS IV - Ogos 2009)
  • Guru-guru Sekolah Kebangsaan Bukit Losong, Kuala Terengganu, Terengganu (Praktikum I - Mac & April 2010)
  • Guru-guru Sekolah Kebangsaan Pusat Chabang Tiga, Kuala Terengganu, Terengganu (Praktikum II - Jun, Julai & Ogos 2010)
  • Guru-guru Sekolah Kebangsaan Tanjung Gelam, Kuala Terengganu, Terengganu (Praktikum III - Februari, Mac dan April 2011)



Gambar off record - saya dijemput oleh anak didik tahun 5 Al-Amanah untuk makan kek bersama mereka. Terima kasih anak-anak.

Selamat Hari Guru...
Semoga anda dan saya menjadi guru yang cemerlang untuk menjana transformasi pendidikan negara.
Saya cintakan kerjaya sebagai seorang guru...

Monday, April 18, 2011

Sayangi Diri... Adab-adab Terhadap Diri Sendiri




1. Memotong kuku tangan dan kaki sekali setiap minggu. Janganlah memanjangkannya walaupun sebahagian darinya kerana dikuatiri tersimpan najis dan perbuatan demikian menyerupai haiwan yang buruk.

2. Memotong rambut setiap kali ia panjang, menjaga kebersihannya dan menyisirnya selalu, yakni jangan pula sampai berlebih-lebihan (tidak membiarkannya dan tidak pula menunpukan perhatian kepadanya)

3. Mengutamakan bahagian kanan, yakni mendahulukan kanan dalam semua perkara yang mulia, seperti ketika mandi, berwuduk, menghormat, berjabat tangan. memakai pakaian atau kasut, memotong kuku, mengambil dan menerima pemberian, makan dan minum. Mengutamakan bahagian kiri yakni perkara yang tidak mulia, seperti membuang ingus, meludah, menanggalkan pakaian dan kasut beristinjak, dan menyentuh aurat. Daripada Aisyah katanya, Rasulullah s.a.w menggunakan tangan kanan untuk bersuci dan makan, sedangkan tangan kiri untuk bersuci dan yang kotor-kotor.

4. Jangan menghadap kiblat ketika meludah, membuang ingus dan kahak, tapi hendaklah ke arah kiri dan pada saputangan yang khusus supaya tidak mengganggu orang lain.

5. Mengalihkan wajah ketika bersin dari muka manusia, dan dari makanan dan minuman agar percikan ingus tidak mengenai orang lain, dan meletakkan saputangan atau tangan ke mulut, memperlahankan suaranya sedapat mungkin. Daripada Abi Hurairah katanya, Apabila Rasulullah s.a.w bersin, beliau meletakkan tangannya di mulutnya dan dengannya suaranya menjadi tidak kuat

6. Memuji Allah sesudah bersin. Orang yang bersin dan memuji Allah hendaklah dijawab dengan (yarhamukallah) dan orang yang bersin pula menjawabnya dengan doa yang berikut (yahdikumullahu wa yushlihu balakum)

7. Meletakkan tangan di mulut ketika menguap untuk menutup pandangan yang tidak layak ketika mulut terbuka, juga untuk menghalang sesuatu masuk ke dalam mulut. Juga disuruh mengurangkan suaranya, dan jika dapat, jangan sampai mengeluarkan suara. Selepas menguap hendaklah beristighfar kepada Allah kerana menguap adalah bukti kemalasan. Oleh itu Allah tidak menyukainya dan menyatakan bahawa ia disebabkan syaitan.
Dari Abu Hurairah bahawa nabi bersabda, "Sesungguhnya Allah suka akan bersin dan benci akan menguap. Jika salah seorang kamu bersin dan memuji Allah hendaklah orang Islam yang mendengarnya mengucapkan ''Yarhamukallah''. Adapun menguap adalah dari syaitan, jadi jika salah seorang dari kamu menguap maka hendaklah ia mengembalikannya sedapat mungkin kerana apabila kamu menguap, syaitan ketawa melihatnya."

8. Berusaha tidak bersendawa, menghindari makanan yang menyebabkan sendawa atau makanan yang membanyakkannya. Dan jika tidak dapat dihindari, bersendawalah dengan suara yang ringan, kemudian bacalah istighfar sesudah sendawa. Daripada Abu Juhaifah katanya,"Aku memakan kepingan roti dan daging kemudian aku mendatangi nabi lalu aku sendawa. Beliau bersabda, pendekkan sendawamu kerana sesungguhnya orang yang paling lapar pada Hari kiamat kelak ialah orang yang paling kenyang di dunia."

9. Mengingat Allah dan bersyukur kepadaNya ketika berkaca (melihat wajah di cermin) kemudian berdoa dengan doa yang warid dari nabi : ''Segala puji bagi Allah, sebagaimana engkau elokkan kejadian aku maka elokkanlah akhlakku."

10. Menggunakan telefon bila perlu sahaja, bukan untuk bermain-main, bergurau atau untuk mengejutkan orang lain, dan bertelefonlah pada waktu-waktu yang sesuai, awali percakapan dengan salam, mengenalkan diri, kemudian menyebut maksud.

11. Membiasakan diri dengan amal yang salih, seperti beribadah, bersedekah, sembahyang unat, menghampirkan diri kepada Allah, berzikir dan membaca Al-Quran. Jangan meninggalkan demikian kerana malas, enggan atau kesibukan dunia. Daripada Aisyah katanya, amalan yang disukai Rasulullah ialah amalan yang terus menerus dilakukan seseorang.

12. Meninggalkan berlebihan dalam segala suatu, tidak melakukan suatu yang tidak berguna, selalu memperbaiki diri dan berusaha memperbaikinya. Daripada Abu Hurairah katanya, Rasulullah bersabda ''Sebahagian tanda kebagusan Islam seseorang adalah meninggalkan sesuatu yang tidak dimaksudnya."

13. Memberi nasihat kepada orang yang mengenali kebaikan, yakni dengan nasihat yang baik bagi orang itu samaada pada agamanya atau dunianya.

14. Menerima nasihat orang lain, mahu mengakui kebenaran dan kembali semula kepadanya, juga mengakui kesalahan diri sendiri jika memang benar sudah salah, dan jangan berterusan padanya, kerana kebenaran itu ialah barang orang mukmin yang hilang, yang terus dicarinya dan akan berterima kasih kepada orang yang menyerahkannya kepadanya serta memuji setiap orang yang sudi memberi nasihat.

15. Membiasakan hidup sederhana, mensyukuri yang sedikit, dan meninggalkan hidup bermewah-mewah dan bersenang-senang di dunia kerana sifat itu menjauhkan diri dari takbur dan ujub serta selamat dari sifat sombong, memuji-muji diri dan angkuh. Dari Aisyah katanya,"Tikar Rasulullah s.a.w diperbuat dari kulit yang disamak setelah dipenuhi dengan sabut."

16. Ikhlas kerana Allah dalam semua pekerjaan, menjadikan matlamat utama dari kehidupan sebagai syiar orang mukmin yang diletakkannya di hadapan dan terus menerus mengulang-ulang sebutan ''Oh Tuhanku, Engkaulah tujuanku, dan Redha Mu lah yang ku cari''.